Pages

Wednesday 22 June 2011

Cerita dalam CERITA

Salamunalaikum ~
Apa khabar sidang pembaca setia yang dirahmati Allah sekalian?
Hari ini, satu cabaran menanti anda. menanti dan menanti buat mereka yang bijak menganalisis dan mencatur.

Dengan berpandukan beberapa jalan cerita, siapakah yang bisa mengalunkan irama dan muziknya mengikut rentak dan melodi yang dia ada dan fahami. Ada faham?

Jom. Hayati dahulu irama dan muziknya. Santai. (",)


Cerita dalam cerita : Kulit Pisang


Seorang lelaki separuh umur kelihatan sedang ketawa seorang diri sambil memandang kulit pisang yang terbuang di tengah jalan. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya dan kemudian tertawa lagi. Begitulah kelihatannya berulang-ulang kali.

Perbuatannya diperhatikan oleh seorang remaja dari jauh. Orangnya segak, kemas dan bergaya. Mengenakan kaca mata hitam dengan lagak seorang korporat. Berambut panjang menutupi pangkal leher. Tersikat rapi dengan minyak rambut yang diadun bersama.

Untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, dia terus menghampiri pakcik tersebut lalu bertanya : " Pakcik, kenapa pakcik ketawa?"

"Pakcik ketawa sebab tengok kulit pisang itu nak..."

"Apa yang pelik dengan kulit pisang itu?" Sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Pakcik itu terus ketawa dan berkata : "Begini. Sejak tadi pakcik perhatikan telah lima enam orang jatuh tergelincir kerana terpijakkan kulit pisang itu. Tapi tiada seorang pun yang mengutip dan membuangkannya ke dalam tong sampah. Agar setiap orang yang lalu tidak tergelincir lagi."

Setelah pakcik itu menghabiskan kata-kata terakhir, anak muda itu turut tersenyum meraikan ketawa yang bersunguh-sunguh dari pakcik tersebut.

Namun, tidak lama kemudian dia bangun dan mengutip kulit pisang yang dimaksudkan lalu membuangnya ke dalam tong sampah.

"Eh... nak, kenapa kamu buang?"

"Saya tidak mahu terus ketawa melihat orang lain jatuh!" jawab pemuda itu dengan lagak selamba. Kali ini pakcik itu pula yang termenung. Ketawanya hilang tiba-tiba.

Tamat.

Cerita dalam cerita : Biji Burian


"Ustaz, nampaknya setiap kali ustaz bercerita, ustaz akan biarkan sahaja tanpa kesimpulan dan tanpa rumusan. kami tahu mesti ada yang tersirat disebalik sesuatu cerita tu..." kata seorang anak murid kepada ustaznya.

Anak-anak murid yang lain mengangguk tanda mempersetujui hemat kawan mereka. Si ustaz diam sahaja. Seperti ada sesuatu yang menganggu kedamaian jiwanya.

Esoknya, sekali lagi ustaz bercerita tanpa memberi sebarang kesimpulan. Rasa tidak puas hati semakin bersarang dalam diri anak muridnya.

Sebelum pulang, ustaz sempat berpesan kepada anak didiknya, "Esok, ustaz harap kamu semua sudi bersama ustaz untuk makan buah durian. Ada seorang tetamu yang ustaz jemput..." Wah-wah. Semua anak muridnya kelihatan begitu gembira sekali. Perasaan tidak sabar jelas terpancar melalui raut wajah mereka.

Pada keesokan hari, tetamu yang dinantikan sudah tiba. Rupa-rupanya ia adalah tuan guru kepada ustaz mereka itu.

Sebelum memulai jamuan, si ustaz bertanya dengan wajah senang hati. Seperti sudah tahu akan jawapan yang bakal dijawab oleh gurunya. "Tuan guru, murid-murid saya ini sebenarnya tidak berpuas hati dengan saya. Kata mereka saya selalu bercerita tanpa memberikan kesimpulan atau rumusannya. Bagaimana untuk saya memahamkan mereka?" kata-kata akhir ustaz itu disulami dengan senyuman meleret.

Lalu, tok guru menyingsing lengan bajunya seraya berkata, "Oh, itu mudah sahaja. Saya makan dulu ya?" kata tok guru.

Dengan bismillah, tok guru mengambil seulas durian lalu dikunyah-kunyahnya. Murid-murid dan si ustaz hanya memerhatikan tanpa berkata apa-apa. Kemudian durian yang sudah dikunyah itu diluahkan semula di tapak tangannya.

"Siapa yang nak makan ini?"

Ee. jijik sungguh. Siapa yang nak makan? Begitulah bisik hati murid-murid. Mereka semua terpinga-pinga. Lain yang dipinta lain pula yang dibuat oleh tok guru.

Melihat kepada riak wajah anak didiknya yang terasa pelik dengan tingkah lakunya, tok guru lantas berkata,

"Nampaknya tidak ada seorang pun yang mahu. Inilah jawapannya wahai anak muridku. Sebuah cerita yang dijelaskan rumusan atau pengajarannya samalah seperti durian yang telah dikunyah dan dimamah oleh orang lain. Tiada siapa yang suka menjamahnya apatah lagi memakannya." Para pelajar yang dari tadi berdiam diri semakin tertarik dengan penjelasan Tok Guru mereka.

"Ustaz kamu hakikatnya mengajar kamu untuk berfikir dan menganalisis sendiri. Itu satu tahap yang lebih tinggi dari sebelumnya. Kalau kamu semua masih mahu menunggu ustaz kamu yang membuat kesimpulan, sampai bila kamu mahu mula berfikir sendiri. Maka, kamu semua harus gembira kerana mendapat seorang ustaz yang berkaliber." Tambah tok guru panjang lebar.

Tamat.

Akhir : Ia satu cabaran buat anda


Jalan cerita dah baca. Tengok tajuk di atas nampak macam menarik - cerita dalam cerita. Bila baca rasa macam biasa saja. Apa yang 'best'? 
Aha. Apa yang 'best'? Andai soalan ini yang terdetik di minda anda, saya sangat bahagia. Kerana anda sudah masuk dalam jerangkap samar yang saya pasang. Bermula dengan cerita 'kulit pisang' dan diikuti dengan cerita 'biji durian' seperti yang dilakarkan diatas, perasankah anda yang saya langsung tidak menghadirkan rumusan dan kesimpulannya.

Saya hanya membentuk bingkai ceritanya sahaja. Tetapi rumusan dan kesimpulan? Saya biarkan ia seperti seulas durian yang masing-masing belum dijamah dan dimakan oleh sesiapa. Kurang enaklah andai saya yang menyimpulkan setiap cerita yang saya bawa. Dengan kata lain anda makan ulas durian yang sudah saya jamah.

Namun begitu, jujur daripada hati yang dalam saya mahu melihat siapakah dalam kalangan anda yang ingin menjamah dan merasai kelazatan durian ini? Adakah anda? Buktikan! Sila simpulkan dua jalan cerita di atas.

No comments:

Post a Comment